LAHAD DATU - Polis memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan yang diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH).
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata remaja itu dikenali sebagai Nur Annisah Abdullah, 16, dan kali terakhir berada di kediamannya di Kampung PPRT Peringkat 2, Jalan Lahad Datu-Silabukan dekat sini.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Sarjan W Aspalainah Mohd Zain dari Balai Polis Lahad Datu di talian 01119019728 atau menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Nasri berkata ibu remaja itu melaporkan kehilangan anaknya pada 9.43 pagi semalam selepas remaja itu tidak pulang ke rumah setelah memohon izin untuk ke bandar Lahad Datu pada 10 Jun lepas.
Kata Nasri, siasatan awal polis mendapati remaja berkenaan tinggal bersama neneknya dekat sini manakala ibunya menetap di Kuala Lumpur dan pada hari kejadian, remaja ini memohon untuk keluar rumah dan berjumpa ibunya yang pulang ke Lahad Datu sempena sambutan Aidilfitri.
"Selain itu, wanita berusia 35 tahun berkenaan ada menerima mesej WhatsApp daripada Nur Annisah dan meminta agar ibunya itu tidak risau kerana dia dalam keadaan baik.
"Namun, kerana risau selepas gagal mencari anak tunggal hasil perkahwinan dengan bekas suami itu di sekitar Lahad Datu, ibunya tampil membuat laporan polis," katanya.
Dalam pada itu, Nasri berkata ibu remaja yang berkahwin baharu itu mengesyaki anaknya keluar rumah bagi mencari kebebasan dan mengikut rakan sebayanya. - Bernama