NEW YORK - Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) akhirnya akan membuka peti besi mengandungi sampel tidak terusik misi Apollo ke bulan selama 50 tahun.
Keputusan itu dibuat kira-kira tiga bulan selepas ia memberikan 9 pasukan pakar peluang unik untuk mengkaji sampel batuan luar angkasa.
Difahamkan, empat pasukan dari NASA dan lima pasukan dari University of Arizona, University of California Berkeley, Makmal Penyelidikan Tentera Laut Amerika Syarikat, University of New Mexico dan Mount Holyoke College/Planetary Science Institute akan melakukan penyelidikan saintifik menggunakan teknologi abad ke-21.
Mereka turut diberikan peruntukan AS$8 juta (RM33 juta) untuk melakukan analisis terhadap tiga sampel batuan bulan yang tidak pernah terdedah kepada atmosfera bumi selama setengah abad.
Menurut NASA, sampel yang akan dikaji itu dibawa pulang ke bumi oleh misi Apollo 15, 16 dan 17 yang dijalankan pada Julai 1971, April 1972 dan Disember 1972.
"Ia satu kebetulan kami membukanya pada sambutan ulang tahun ke-50 misi tersebut. Ia juga menandakan kami akan kembali ke bulan," kata kurator sampel Apollo, Ryan Zeigler.
Pada 20 Julai 1969, Apollo 11 menjadi kapal angkasa pertama mendarat di permukaan bulan dan angkasawan Neil Armstrong dan Buzz Aldrin menjadi dua manusia pertama menjejakkan kaki di bulan dan berjaya membawa pulang 21.5 kilogram batuan bulan sebagai 'cendera hati'.
Kejayaan misi mereka disusuli dengan lima ekspedisi sama yang dilancarkan NASA antara 1969 dan 1972. Apollo 17 menjadi misi terakhir ke bulan yang membawa balik sampel seberat 382 kilogram.
Kira-kira 70 peratus sampel masih disimpan dalam peti besi, 15 peratus lagi berada di White Sands, New Mexico dan bakinya untuk kajian atau pameran. - Agensi