PUTRAJAYA - Tiga gas dikesan dalam insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang termasuk gas metil merkaptan, yang kehadirannya satu anomali atau di luar kelaziman, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.
"Dua lagi gas yang turut dikesan adalah akrilonitril dan akrolein," katanya.
Iklan
Iklan
Menurut Bee Yin, akibat persekitaran udara yang tepu di Pasir Gudang, sebarang anomali sedemikian akan memberi kesan kepada kumpulan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asma.
"Bagaimanapun, ketiga-tiga gas ini tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing 10 pesakit daripada lapan buah sekolah yang telah dianalisis,” katanya dalam sidang bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai perkembangan insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang, di sini hari ini.
Bee Yin berkata kementeriannya telah mengambil langkah segera untuk melupuskan faktor-faktor penyumbang kepada kehadiran gas-gas tersebut, serta meneruskan usaha penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kilang berasaskan bahan kimia di sekitar Pasir Gudang.
Pada ketika ini, Pasir Gudang mempunyai 2,005 buah kilang berlesen dan 250 daripadanya adalah kilang berasaskan bahan kimia. - Bernama
Artikel Berkaitan