KUALA LUMPUR - Satu kertas putih berkaitan bantuan kemanusiaan secara sistematik bagi pelarian etnik Rohingya sedang disiapkan oleh Kementerian Luar bertujuan menyelaras bantuan kemanusiaan bagi pelarian itu.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata sudah tiba masanya Malaysia mempunyai satu pelan komprehensif berkaitan bantuan kemanusiaan untuk pelarian dari Mynamar itu supaya bantuan yang disampaikan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.
"Walaupun Malaysia tidak mampu buat bantuan besar tapi apabila ada pelan sistematik, mungkin boleh dapat dana asing untuk bantu perkasa bantuan kemanusiaan pelarian etnik Rohingya," katanya selepas melancarkan buku berjudul Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Asing: Melewati Pertukaran Rejim tulisan Muhammad Takiyuddin Ismail terbitan Universiti Malaya (UM) Press di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas usaha Malaysia yang komited meningkatkan kerja-kerja kemanusiaan di Cox's Bazaar dan juga di Malaysia yang mempunyai ramai pelarian etnik Rohingya.
Apabila siap kelak, kertas putih yang mengandungi pelan hala tuju bantuan kemanusiaan terutamanya aspek pendidikan akan dibentangkan ke Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.
"Tidak cukup sekadar bagi kemudahan pendidikan sahaja tetapi kita kena nilai ianya berada di tahap mana dan mampu sampai ke mana. Anak-anak pelarian etnik Rohingya juga perlukan masa depan,” katanya.
Rohingya yang merupakan kumpulan minoriti Islam di Wilayah Rakhine, Myanmar, ditindas pihak tentera dan puak-puak lain di negara itu sehingga memaksa mereka melarikan diri dan mendapatkan perlindungan di kem sementara di sempadan susulan serangan ke atas etnik itu sejak lewat 2016. - Bernama