Lagak PATI panjat zink, terjun belukar

Iklan
Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi di gudang alat ganti kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Tanpa memikirkan soal keselamatan, segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup memanjat pagar zink dan terjun ke kawasan belukar semata-mata untuk memboloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Itu antara 'gelagat' yang berlaku dalam serbuan di gudang menjual alat ganti kenderaan di Taman City, Jalan Kuching, di sini, yang dipercayai dimonopoli warga Pakistan dan Afrika.

Iklan
Iklan

Serbuan bermula jam 11 pagi ini turut dijalankan di medan selera di NU Sentral, di sini, semalam.

Seramai 76 PATI berjaya diberkas kerana melakukan kesalahan tinggal lebih masa, menyalahgunakan permit dan tidak memiliki dokumen perjalanan.

Iklan

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, serbuan pertama di gudang alat ganti itu, seramai 31 PATI berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun diberkas.

Menurutnya, semakan mendapati tangkapan membabitkan 25 warga Pakistan, empat warga Nigeria termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Ghana (1) dan Bangladesh (1).

Iklan
Sebahagian PATI yang ditahan di NU Sentral, Kuala Lumpur, semalam.

"Lokasi serbuan ini agak terpencil dan berada di dalam kawasan perkilangan industri ringan. Semasa serbuan, rata-rata PATI warga Afrika sedang leka membuat kerja, menyedari kehadiran pegawai penguatkuasa kesemua mereka bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar zink dan terjun ke dalam kawasan belukar.

"Tindakan PATI itu bagaimanapun menyusahkan diri mereka apabila mereka mengalami kecederaan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Bagi operasi di NU Sentral pula, menerusi Ops Niaga dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta polis berjaya menahan 45 PATI berusia lingkungan 25 hingga 40-an.

Katanya, operasi telah mengesan di mana premis medan selera terbabit disyaki menggajikan PATI tanpa permit yang sah.

"Sebanyak 16 buah premis diperiksa dan dua majikan ditahan. Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang dikesan menggajikan PATI untuk bekerja, itu satu kesalahan," katanya.