JOHOR BAHRU - Seorang remaja berusia 15 tahun yang dipukul oleh dua rakannya kelmarin, menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, setakat ini, dua individu sama yang terlibat dalam kes tersebut dan masih dalam tahanan polis untuk siasatan.
"Mangsa terima rawatan pesakit luar sahaja semalam di HSI.
ARTIKEL BERKAITAN: Kutuk-mengutuk punca gaduh
"Setakat ini, dua sahaja yang terlibat dalam kes ini dan masih dalam tahanan pihak polis untuk siasatan," katanya di sini hari ini.
Shahurinain berkata, pihaknya telah merakam percakapan seorang saksi kejadian bagi membantu siasatan yang dijalankan.
"Seorang saksi kejadian telah dirakam percakapannya. Saksi-saksi yang lain akan dipanggil dan diambil percakapan untuk bantu siasatan," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja berusia 15 tahun dipukul dua rakannya berusia 16 tahun sekitar jam 3.30 petang di taman permainan, Taman Setia Indah di sini 26 Jun lalu.
Mangsa sebelum itu menerima panggilan daripada rakannya yang meminta untuk datang ke taman permainan tersebut, sebelum berlaku pertengkaran mulut.
Dua rakan mangsa telah bertindak memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki di bahagian muka, kepala dan dada sebelum beredar.
Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami bengkak di bahagian kepala, mata dan sakit di bahagian dada selain muntah darah.
Semalam, mangsa hadir ke balai polis untuk membuat laporan dan dua remaja yang disyaki terlibat telah ditahan di rumah sekitar jam 7.40 petang.