SHAH ALAM - Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengesahkan semua Ahli Parlimen kerajaan hari ini sudah mengisytiharkan harta mereka.
Menurutnya, laporan yang diterima tiada seorang pun yang tercicir daripada mengisytiharkan harta.
"Tidak meletakkan Ahli Parlimen sebagai pengerusi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang besar sehingga hari ini membuktikan tiada lagi pengerusi GLC yang besar dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen.
"Mereka terjemahkan keadaan itu dalam bentuk tindakan, tidak perlu undang-undang hanya melalui proses keputusan di Kabinet," katanya pada Program Bicara Minda di Dewan Karangkraf hari ini.
Abu Kassim berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Kabinet dan pada enam bulan pertama mesyuarat diadakan tiap-tiap bulan bersama Perdana Menteri.
Jelasnya, perkara-perkara mengenai integriti dan isu rasuah dibincangkan dan turut dipengerusikan Dr Mahathir malah dasar-dasarnya turut diluluskan.
Mengulas mengenai ahli politik di negara ini perlu bebas rasuah, beliau berkata, ia sebagai langkah permulaan untuk mencapai negara bebas rasuah.
Jelasnya, kegiatan rasuah terbesar dalam negara dipercayai melibatkan ahli politik selain berlaku dalam kalangan pengurusan parti politik itu sendiri.
"Pihak pertama yang kena ubah adalah ahli politik.
"Mereka ini yang kena berubah kalau mahu orang lain berubah," katanya.