KUANTAN - Usianya baharu mencecah 25 tahun, namun seawal itu juga, dia sudah dua kali ditahan disebabkan ketagihan dadah.
Itulah realiti kehidupan dilalui seorang ibu kepada tiga orang anak dari Kampung Pak Mahat, Kuantan selepas terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah sejak tiga tahun lalu.
Dia ditahan dalam operasi bersepadu Ops Sarang Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ketika cuba masuk ke kawasan penagihan dadah di Tanjung Lumpur, di sini awal pagi tadi.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ara mengakui sering mengunjungi port tersebut dan akan pergi ke tempat tersebut setiap hari semata-mata untuk mendapatkan bekalan dadah jenis syabu.
Difahamkan wanita itu pergi ke kawasan berkenaan bersama teman lelakinya dan memaklumkan dia sedang dalam proses perceraian dengan suaminya.
"Selalunya pasti sehari saya menghisap satu tiub syabu dan saya telah pun melakukannya (menagih) sejak tiga tahun lalu
"Anak-anak pula saya akan tinggalkan dengan ibu atau adik di rumah dan mereka akan menjaganya," katanya.
Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam tadi hingga jam 2 petang itu turut menahan 81 penagih dan dua pengedar dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Lam Thiam Huat berkata, pihaknya turut berjaya merampas dadah seberat 12g jenis syabu dan dadah jenis heroin seberat 240g.
"Enam warga asing daripada 77 individu ditahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan pengawasan tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.
"Dua lelaki tempatan berusia 35 tahun dan 50 tahun telah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit melakukan kesalahan tersebut.
"Empat lagi warga tempatan berusia sekitar 30 tahun di tahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan," katanya.
Sementara itu, Thiam Huat berkata, walaupun terdapat cubaan untuk melarikan diri ketika operasi, namun tindakan pantas yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Nakotik (JSJN) Pahang dapat menahan mereka yang hendak melepaskan diri.
"Sebelum ini tempat ini pernah kita putihkan dan namun hasil risikan daripada anggota kita lihat kawasan ini aktif semula dan operasi berterusan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.
"Kita berharap masyarakat akan terus bekerjasama menyalurkan maklumat dan sentiasa membantu polis dalam membanteras masalah dadah di negeri ini,” katanya.