KPDNHEP siasat CMS Cement: Saifuddin

Iklan
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat CMS Cement Sdn Bhd (CMS) sama ada syarikat tersebut memenuhi keperluan lesen yang dikeluarkan serta mendapat kebenaran untuk meningkatkan harga simen.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah menghantar notis untuk mendapat maklumat mengenai perbezaan harga simen yang ketara dari pemain industri di Sarawak.

Iklan
Iklan

Ini berikutan, isu harga simen yang tinggi di Sarawak yang mana CMS memegang monopoli dalam pengeluaran simen di negeri tersebut.

KPDNHEP dalam kenyataan media hari ini, turut berkata kementerian mendapati terdapat beberapa perubahan harga yang dilakukan oleh CMS pada 2011, 2014 dan 2016.

Iklan

Bersandarkan data dibekalkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan analisis oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), terdapat perbezaan harga simen sekitar 57 peratus bagi beg 50kg dan 40 peratus bagi simen pukal antara Semenanjung Malaysia, terutamanya di Selangor dengan Sarawak

Saifuddin berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan MyCC menjalankan penilaian terhadap pasaran simen di Malaysia.

Iklan

Penilaian tersebut, yang memberi gambaran keseluruhan industri secara holistik dan analisis struktur pasaran simen di Sarawak, mendapati CMS mempunyai kelebihan kompetitif sebagai pembekal simen tunggal serta merupakan pengimport simen terbesar di Sarawak.

Pada masa sama, terdapat kekangan untuk membangunkan kilang pengeluaran simen di Sarawak dan modal besar juga diperlukan bagi menjamin pengeluaran simen yang konsisten dalam pasaran sama.

Pada 23 Jun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mendedahkan harga simen di Sarawak adalah secara ketara lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata satu penyiasatan diperlukan bagi menentukan sama ada harga itu akibat amalan monopoli industri simen tempatan di Sarawak. - Bernama