Nak berceramah di Pahang, perlu dapatkan kebenaran

Iklan
Abdul Rahman ( kanan) dan Wan Abdul Wahid (dua,kiri) menunjukkan aplikasi atas talian yang akan dibuka pada awal tahun hadapan kepada penceramah bertauliah atau bebas selepas Taklimat Perakuan Kebenaran Mengajar Agama Islam Negeri Pahang, di sini, hari ini.

KUANTAN - Perakuan kebenaran mengajar atau kebenaran khas berceramah perlu diperoleh semua penceramah bertauliah dan bebas yang ingin menjalankan kerja dakwah di negeri ini mulai tahun hadapan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, mereka boleh mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran itu melalui sistem dalam talian yang disediakan pihaknya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara ini diputuskan,bagi memudahkan proses pemantauan oleh pihaknya dan Pejabat Mufti Pahang berhubung ceramah yang ingin disampaikan kepada rakyat di negeri ini.

"Keputusan ini sudah dirujuk kepada Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991 (Enakmen No 11/2013) dan secara jelas disebut dalam Seksyen 112(3) dan Seksyen 116 bahawa Jawatankuasa mempunyai kuasa mengeluarkan surat kebenaran bagi maksud mengajar mengenai apa-apa aspek agama Islam dan menarik balik kebenaran itu; dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang atas nasihat Muip boleh mengeluarkan pemberitahuan melalui penwartaan enakmen berkenaan.

Iklan

"Kaedah-kaedah perakuan mengajar agama Islam di Pahang sudah diwartakan pada 26 Oktober 2017 dan Muip akan melaksanakan dengan lebih tegas bermula tahun depan.

"Ini bermaksud, siapa sahaja yang berminat untuk berceramah atau mengajar agama Islam di Pahang, perlu memiliki sama ada Perakuan (kebenaran mengajar) atau Kebenaran Khas (berceramah)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada media selepas Taklimat Perakuan Kebenaran Mengajar Agama Islam Negeri Pahang, hari ini.

Taklimat turut dihadiri Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman; Setiausaha Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussin dan semua kadi daerah di Pahang.

Dalam pada itu, Wan Abdul Wahid menjelaskan, proses kelulusan bagi mendapatkan perakuan kebenaran mengajar itu mengambil masa kira-kira sebulan, manakala bagi kebenaran khas pula boleh diluluskan dalam tempoh 24 jam.

Katanya, permohonan bagi perakuan kebenaran mengajar disaring oleh Muip dengan kerjasama Pejabat Mufti Pahang dan sebaik diluluskan, perakuan itu sah digunakan bagi tempoh dua tahun.

Tambahnya, namun pihak Muip boleh menarik balik kelulusan terbabit jika pemohon melanggar peraturan ditetapkan.

"Bagi kebenaran khas mengajar, permohonan boleh diluluskan segera dan ia tertakluk kepada budi bicara kadi daerah... mereka (kadi daerah) boleh mengeluarkan kebenaran khas itu selepas memaklumkan dan mendapat persetujuan dari Pejabat Mufti negeri," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan ramai penceramah bertauliah dan penceramah bebas ke Pahang bagi menyuburkan lagi perkembangan dakwah dan budaya ilmu di negeri ini.

"Kita tidak menghalang mereka (penceramah bertauliah dan penceramah bebas) untuk datang dan berkongsi ilmu yang ada dengan umat Islam di negeri Pahang.

"Selagi mereka mematuhi peraturan ditetapkan, tidak menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah; tidak menyentuh hal berkaitan kedaulatan Yang Dipertuan Agong dan Sultan Pahang atau negeri lain; selagi tidak menyentuh isu politik kepartian... tidak ada masalah, kita alu-alukan kedatangan mereka," katanya.

Penceramah yang ingin menjalankan kerja dakwah menerusi ceramah atau mengajar perlu membuat permohonan dengan melayari laman web eperakuan.muip.gov.my.