Terapi minda di Taman Botani

Iklan
Rumah kaktus dan Rumah Orkid antara tarikan Taman Botani Pulau Pinang yang sering dilawati pengunjung

GEOREGTOWN - Taman Botani atau lebih dikenali dalam kalangan masyarakat setempat sebagai Taman Air Terjun Pulau Pinang antara tempat yang menjadi pilihan pelancong luar dan dalam negara untuk bersiar.

Bersiar dikelilingi alam semulajadi flora dan fauna menjadikan setiap pengunjung Taman Botani seperti berada di kawasan tanah tinggi kerana persekitaran yang sejuk dan segar.

Iklan
Iklan

Mengikut laman web rasmi Taman Botani, taman ini dibina dan ditubuhkan oleh British pada 1884.

Ia sebenarnya adalah sebuah tapak kuari granit yang lama dan terletak jauh di dalam sebuah lembah di kaki bukit hutan hujan tropika setinggi 34 meter.

Iklan

Taman ini juga terletak di antara aliran mata air yang membahagikan kawasan tersebut melalui sebuah kawasan yang luas dan beralun dengan ukuran di antara 29 hektar kaki persegi.

Bagi penduduk Pulau Pinang, Taman Botani Pulau Pinang antara lokasi terbaik untuk beriadah pada waktu pagi dan petang

Iklan

Maklumat itu juga menyatakan, aspek botani dan hortikultur yang terdapat di taman ini telah dibangunkan dan dimajukan oleh kurator pertama Taman Botani, Charles Curtis.

Beliau merupakan kurator dari Jabatan Taman dan Hutan Negeri-Negeri Selat yang berdedikasi terhadap tanaman dan landskap yang terdapat di taman ini.

Charles adalah individu yang bertanggungjawab mentransformasikan kawasan tersebut yang merupakan sebuah bekas tapak kuari granit kepada 'syurga' semulajadi yang menakjubkan.

Taman Botani adalah sebuah warisan semula jadi yang unik di Pulau Pinang dan satu-satunya taman botani yang unik di Malaysia.

Monyet jadi 'penyambut tetamu'

Taman yang dianggap nadi hijau Pulau Pinang ini tidak mengenakan caj kepada pengunjung malah mereka bebas keluar masuk dan beriadah di situ.

Selain pokok unik berusia ratusan tahun, Taman Botani Pulau Pinang juga diserikan dengan kehidupan puluhan monyet yang berperanan sebagai 'penyambut tetamu' kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke situ.

Ia dibuka seawal jam 5 pagi hingga 8 malam setiap hari, bagi membolehkan pengunjung beriadah dan berehat di taman ini.

Antara tarikan lain adalah pokok hujan yang berusia melebihi 100 tahun, pokok lilin, pokok buah (peluru) meriam, pokok ebony, pokok argus pheasant dan air terjun semulajadi.

Pokok yang dijaga rapi dan air terjun semulajadi ini juga antara tarikan di taman ini kerana sering dijadikan lokasi penggambaran untuk pasangan pengantin yang baru berkahwin.

Selain itu, pengunjung boleh melihat sendiri taman tanaman antaranya rumah orkid, tasik teratai, hutan hujan tropika, taman rekreasi kuari, rumah kaktus dan tapak semaian.

Antara kemudahan yang disediakan adalah perkhidmatan 'tram' berbayar, kawasan rekreasi, tandas, akses kepada kerusi roda laluan untuk larian, pentas, gazebo, trek joging dan padang rehat.

Bagi mereka yang gemar mendaki bukit, Taman Botani Pulau Pinang adalah salah satu lokasi terbaik kerana ia menyediakan trek mendaki yang membolehkan pendaki sampai ke Bukit Bendera.

Taman ini juga sering menjadi pilihan pasangan pengantin yang baru berkahwin untuk dijadikan lokasi penggambaran kerana pemandangannya yang sangat cantik.