KOTA TINGGI - Muzium Kota Tinggi yang kini berubah wajah setelah ditutup hampir enam tahun untuk kerja naik taraf menjadi tarikan terbaharu buat para pelancong dari dalam dan luar kawasan untuk berkunjung.
Kurator Muzium Kota Tinggi, Wasfi Mirza Othman berkata, antara keistimewaan Muzium Kota Tinggi menampilkan kelainan terutama dari segi teknologi kesultanan dalam peperangan senjata.
Menurutnya, sebelum ini konsep muzium Kota Tinggi lebih kepada tema kesultanan namun kini turut mempamerkan galeri seni yang menonjolkan karya pelukis-pelukis serta artifak berusia 100 lebih tahun yang dipamerkan dalam peti pameran.
"Melalui konsep baharu di sini kita hendak tunjuk kepada pengunjung bahawa teknologi kesultanan dahulu lebih maju.
Selama ini kita berfikiran Melayu dahulu berperang pakai tombak, lembing dan keris tetapi sebaliknya teknologi senjata itu sudah ada.
"Jika diikutkan logik akal seperti mana dalam ilustrasi peperangan dahulu kita akan dapat lihat tentera Melayu dengan senjata tersebut sementara tentera luar membawa senapang, meriam dan sebagainya.
"Kita boleh fikir sendiri orang yang ada senjata api berlawan dengan tentera Melayu yang bersenjata berkenaan tetapi menang. Ia seolah-olah tidak adil.
"Hasil kajian dilakukan kita dapati teknologi kesultanan Melayu kita dulu sudah pun hebat antaranya menggunakan senjata api istinggar atau senapang dan juga telah ada teknologi meriam. Buktinya kita ada pamerkan di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, siapa sangka bahawa sejak dahulu lagi pejuang Melayu sudah mempunyai penembak tepat, namun ia tidak didedahkan kepada masyarakat.
Jelasnya, pihak muzium mahu memberi kesedaran kepada orang ramai terutama pengunjung domestik, lokal tentang teknologi persenjataan di zaman Melayu dahulu dan di sini peranan muzium untuk menaikkan teknologi persenjataan tersebut.
"Muzium Kota Tinggi juga antara tiga muzium dalam semenanjung yang mempunyai koleksi istinggar yang digunakan askar Melayu zaman dahulu.
"Perkara itu dimaklumkan oleh penyelidik yang datang ke sini sekali gus memberi input baharu serta memberi semangat kepada kami untuk terus mengkaji.
"Begitu juga koleksi teknologi meriam dipamerkan di Asia Muzium Kota Tinggi merupakan muzium kedua yang ada koleksi itu,” katanya.
Penambahbaikan fasa kedua tahun hadapan Wasfi berkata, pihak muzium komited dalam memastikan kehadiran pelancong ke muzium itu terus meningkat dari masa ke semasa antaranya melalui penambahbaikan fasa kedua yang dijangka akan dilakukan tahun hadapan.
Katanya, pada masa akan datang segmen persenjataan di muzium itu akan tampil lebih menarik dengan kajian lebih lengkap dengan kerjasama penyelidik.
"Alhamdulillah selepas dibuka pada Mac lalu, setiap hari memang ada sahaja kehadiran pelancong dan kehadiran amat menggalakkan selain respon positif kita terima.
"Saya harap muzium ini dapat berikan maklumat tepat kepada pengunjung dengan sejarah Johor dan Kota Tinggi dan apa yang dipamerkan diharapkan pengunjung dapat ilmunya.
"Kita bukan pamer sekadar pamer, tetapi pameran di sini juga berbentuk akademik. Bagi pengunjung yang mahukan maklumat lebih lanjut boleh ke kaunter untuk dapatkan khidmat jurupandu yang akan menerangkan dengan lebih jelas jalan cerita dan artifak yang dipamerkan,” katanya.