Gleneagles Medini Hospital Johor lancar pusat kanser baharu

Iklan
Dr Sahruddin merasmikan pusat kanser Gleneagles Medini Hospital Johor.

ISKANDAR PUTERI - Gleneagles Medini Hospital Johor melancarkan pusat kanser baharu dan terkini untuk menyediakan perkhidmatan rawatan kanser yang komprehensif kelmarin.

Hadir menyempurnakan perasmian tersebut adalah Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Medini Hospital Johor, Jean-Francois Naa berkata, pusat kanser yang menawarkan perkhidmatan perubatan lengkap dan sokongan itu untuk pesakit kanser di rantau ini.

Menurutnya, perkhidmatan perubatan dan sokongan ditawarkan termasuklah rawatan radioterapi, kemoterapi, terapi hormon, imunoterapi dan terapi biologi sasaran.

Iklan

"Ia dikendalikan oleh pasukan multi-disiplin terdiri daripada jururawat, perunding pakar perubatan dan pakar paramedik berpengalaman serta berkemahiran tinggi.

"Selain itu, Gleneagles Medini Hospital Johor dilengkapi Radioterapi Elektra Synergy terkini dengan sisten C-RAD yang menawarkan Terapi Radiasi Konformal 3-Dimensi (3DRT), Radiasi Termodulasi Intensiti (IMRT), dan Terapi Arc Volumetrik (VMAT) atau Rapid Arc yang akan menjadikan rawatan lebih tepat, jitu dan pantas," katanya.

Iklan

Jean berkata, dengan inovasi teknologi canggih tersebut, rawatan dilakukan dengan dos radiasi lebih rendah agar pesakit boleh meneruskan rutin harian dengan cepat selain mempertingkatkan mutu kehidupan secara keseluruhannya.

Katanya, pusat kanser bernilai RM25 juta itu merupakan penambahnilai kepada RM400 juta yang dilaburkan kepada hospital itu sejak mula beroperasi pada tahun 2015.

"Ia adalah usaha untuk menjadikan hospital ini untuk mencipta nama sebagai hospital swasta terkemuka di rantau ini.

"Dengan pelancaran pusat kanser ini, Gleneagles Medini Hospital Johor mampu meningkatkan mutu penjagaan pesakit kanser dengan menggabungkan teknik terbaik, inovasi teknologi terkini serta pasukan perubatan berpengalaman," katanya.

Selain itu, beliau berkata, sejak mula beroperasi pada akhir 2015, Gleneagles Medini Hospital Johor telah mengorak langkah menjadi penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di rantau ini.

"Kami memberikan pengalaman pesakit dan hasil klinikal terbaik bagi pesakit kami. Kami berazam untuk meningkatkan lagi piawaian dalam penyediaan penjagaan kesihatan untuk memenuhi standard tinggi yang dikaitkan dengan jenama Gleneagles kami yang berprestij.

"Dengan pusat kanser baharu ini, ia dapat meneruskan usaha dan objektif hospital untuk memastikan pesakit mendapat penjagaan kesihatan terbaik, dan pastinya merancakkan lagi bidang pelancongan kesihatan di Johor, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam menjadikan Johor sebagai hab rawatan perubatan di rantau ini," katanya.

Gleneagles Medini Hospital Johor kini beroperasi dengan menyediakan hampir 150 katil dan penambahan 30 katil pada akhir tahun 2019. Setakat ini, hospital telah merawat lebih 130,000 pesakit termasuk 20,000 pesakit luar negeri.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar.