MACHANG - Menerima dana politik dari presiden adalah perkara lazim bagi semua parti dan telah dilakukan sejak berpuluh tahun dahulu demi kelangsungan parti.
Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, perkara tersebut bukan hanya berlaku pada zaman Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi juga pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah memegang jawatan yang sama.
Menurutnya, sumber kewangan sangat penting bagi sesebuah badan politik yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak dengan ketua serta organisasi parti menjadi penyumbang kepada dana tersebut
"Bagi wang yang diterima oleh parti, ia adalah perkara biasa dan ia dianggap dana politik oleh presiden bagi kelangsungan parti. Mana-mana parti pun sama, sumbangan tentunya datang dari presiden atau organisasi parti itu sendiri.
"Tak apalah.. Kami terima proses keadilan ini namun ia perlu dilaksanakan seadil-adilnya. Biarlah mahkamah yang menentukannya namun untuk menyalahkan kita (UMNO Kelantan) yang menerima sumbangan ini, ia tidak adil," katanya kepada pemberita di Majlis Aidilfitri UMNO Bahagian Machang di sini malam tadi.
Majlis yang berlangsung di kediaman Ahmad Jazlan tersebut dimeriahkan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir menyatakan sokongan adalah pimpinan Pas Kawasan Machang, Bendahari Pas Kawasan Machang, Ariffahmi Abd Rahman dan Ketua Pemuda Pas Machang, Razuan Awang Hamat.
Lebih 10,000 penduduk dan orang ramai membanjiri pekarangan rumah Ketua UMNO Bahagian Machang tersebut dengan masing-masing tidak mahu melepaskan peluang berswafoto dengan Najib yang popular dengan panggilan 'Bossku'.
Pada minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, SPRM telah mengenal pasti 41 sama ada individu atau entiti yang telah dijadikan responden dalam permohonan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan bermula pada 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.
UMNO Kelantan turut tersenarai sebagai penama yang didedahkan SPRM tersebut selain UMNO Selangor, Pahang, Kedah, Johor dan Sabah.