Tanah runtuh: Identiti pekerja Myanmar dikenal pasti

Iklan
Mangsa

GEORGETOWN - Identiti empat warga Myanmar yang maut ditimpa tanah runtuh di Lost Paradise Resort, Batu Feringghi telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa pertama dikenali sebagai Mg Seng Pya berusia 38 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa kedua dikenali sebagai Nai Cho Inn berusia 49 tahun manakala mangsa ketiga adalah Mg Htwe,38 tahun.

"Mangsa keempat dikenali sebagai Aung Tun Aye berusia 49 tahun. Pengecaman dibuat oleh pengurus resort berkenaan yang mana kesemua pekerja tersebut membuat kerja sambilan di resort itu dengan membina benteng penghadang tanah sejak seminggu lalu.

Iklan

"Bedah siasat dibuat secara luaran dan dalaman ke atas keempat-empat mangsa pada jam 9 pagi, 26 Jun lalu. Hasil bedah siasat mendapati, Nai Cho In maut disebabkan hentakan benda tumpul pada kepala dan dada," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, punca kematian Aung Tun Aye pula disebabkan lemas di dalam runtuhan yang menimpanya.

Iklan

"Mg Seng Pya dan Mg Htwe pula meninggal dunia disebabkan kekurangan oksigen dan sukar bernafas apabila dihempap dengan struktur dinding serta tanah.

Dalam kejadian Selasa lalu, empat pekerja warga Myanmar maut ditimpa dinding penahan yang dibina di Lost Paradise Resort di Batu Feringghi.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat mayat warga Myanmar berjaya ditemukan

Selasa lalu, dalam kejadian kira-kira jam 9.25 malam, empat pekerja asing warga Myanmar maut akibat tertimbus dalam kejadian runtuhan dinding di tebing Jalan Batu Feringghi, di sini.

Keempat-empat mangsa berjaya dikeluarkan selepas hampir enam jam tertimbus didalam longkang yang dipenuhi besi cerucuk.

Operasi SAR melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Pulau Pinang, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Kedah, Polis diraja Malaysia ( PDRM ) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Bagaimanapun, sehingga kini, resort yang dimiliki oleh seorang doktor masih beroperasi seperti biasa berikutan Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengesahkan tiada keperluan untuk pusat peranginan tersebut ditutup.