KAMPUNG RAJA - Majlis Daerah Besut (MDB) mula melaksanakan operasi menangkap haiwan merayau secara besar-besaran di daerah ini bermula kelmarin.
Yang Dipertuanya, Abd Rashid Jusoh berkata, sebanyak 23 ekor haiwan berkeliaran berjaya ditangkap pada hari pertama operasi iaitu membabitkan 19 ekor kambing dan selebihnya biri-biri.
Menurutnya, haiwan tersebut ditangkap di sekitar Kampung Baru, Kampung Lampu, Taman Seri Intan Kuala Besut, Kampung Seberang Kastam dan Air Tawar.
"Seramai dua pegawai dan 17 anggota MDB terlibat dalam operasi bermula jam 9.30 pagi hingga 2 petang itu yang diketuai Khairani Alias,” katanya.
Abd Rashid berkata, tindakan tegas tersebut diambil susulan banyak aduan diterima daripada orang ramai mengenai masalah haiwan merayau sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, masalah berkatan ini juga turut dibangkitkan di Sidang Dun Negeri Terengganu sebelum ini.
"Kerajaan memandang serius aduan mengenai haiwan ternakan seperti lembu, kambing termasuk kuda yang dibiarkan berkeliaran sehingga membahayakan keselamatan penduduk dan mengundang beberapa kes kemalangan jalan raya,”katanya.
Tambahnya sebelum operasi dilaksanakan, pihaknya telah mengeluarkan notis pemberitahuan yang diedarkan di kawasan tumpuan seperti masjid-masjid, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), media sosial dan kedai-kedai.
Abd Rashid berkata, tindakan penguatkuasaan itu bagi mendisiplinkan penternak yang tidak bertanggungjawab melepaskan haiwan tanpa pengawasan.
Katanya, kaedah tangkapan yang dilakukan oleh pihaknya adalah menggunakan pukat dan tembakan pelali.
"Kami berkerjasama dengan Jabatan Veterina untuk menandakan tag pada setiap ekor lembu yang ditangkap bagi mendapatkan data rekod pemilik haiwan.
"Sekiranya haiwan sama ditangkap, tindakan denda sekali ganda iaitu sebanyak RM1,000 untuk menuntut setiap ekor lembu yang ditangkap berbanding hanya RM500 seekor bagi kesalahan pertama,” katanya.
Jelas beliau, denda tersebut tidak termasuk kompaun kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Haiwan Merayau iaitu sebanyak RM250 bagi satu kesalahan tidak mengambil kira jumlah ternakan mereka yang ditangkap.
Katanya, denda bagi menuntut semula kambing adalah sebanyak RM300 seekor tanpa mengira saiz juga tidak termasuk kompaun kesalahan.
"Penternak boleh menebus balik ternakan mereka dalam tempoh 14 hari dan selepas itu haiwan tersebut akan diambil tindakan seterusnya," katanya.