'Pembangunan tidak susutkan Tanah Simpanan Melayu'

Iklan
Mukhriz (dua, kanan) melihat rekabentuk Kondominium G Residence yang dipamerkan di pusat jualan GPC Development Sendirian Berhad selepas majlis perasmian.

ALOR SETAR - Kerajaan negeri memberi jaminan proses tukar ganti Tanah Simpanan Melayu kepada Tanah Luar Simpanan Melayu untuk pembangunan terutama dalam bandaraya Alor Setar tidak akan menyusutkan jumlah tanah berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kebanyakan tanah sekitar bandar raya ini merupakan status tanah pertanian dan memerlukan proses tukar ganti, bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan Tanah Luar Simpanan Melayu berada di Kubang Pasu dan Kulim, jadi kita lakukan swapping dengan kriteria dan keluasan sama, ini antara kaedah yang kita lakukan buat masa ini. Ia tidak mengurangkan Tanah Simpanan Melayu kerana penggantian tanah tetap ada, malah kadang bertambah jumlahnya,” katanya pada sidang media, selepas merasmikan projek Kondominium G Residence di GPC Sales Galery, di Simpang Kuala, di sini hari ini.

Pada 12 Februari lalu, Kedah mewujudkan satu jawatankuasa bagi mengenal pasti tinggalan endosan atas hak milik Tanah Simpanan Melayu sebagai usaha mengelak penyusutan tanah tersebut, selain untuk mengurangkan risiko keputusan mahkamah tidak memihak kepada kerajaan negeri.

Iklan

Kedah satu-satunya negeri yang memiliki keluasan Tanah Simpanan Melayu terbanyak, hampir 80 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri.

Mengulas mengenai permintaan terhadap penawaran rumah bertingkat seperti pangsapuri dan kondominium di negeri ini, Mukhriz berkata, ia kurang memberangsangkan.

Iklan

"Berdasarkan maklum balas pemaju, tak banyak permintaan untuk rumah bertingkat di Kedah, kemungkinan atas faktor harga yang disifatkan di luar kemampuan rakyat negeri ini. Namun kita pastikan pemaju meletakkan harga bersesuaian dengan kuasa beli penduduk,” katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya akan memastikan aktiviti ekonomi ditingkatkan dalam bandar raya agar warga Kedah tidak perlu lagi berhijrah untuk mencari pekerjaan.

"Ekonomi Kedah pun tidak berapa rancak, termasuk bandaraya Alor Setar. Kita akan lihat bagaimana untuk wujudkan lebih banyak peluang kerja dan niaga menerusi dasar-dasar yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin apabila ekonomi semakin rancak, selain berlaku pertambahan penduduk dalam bandar akan meningkatkan permintaan untuk kediaman bertingkat.

"Untuk kawasan luar bandar, perumahan atas tanah masih menjadi pilihan. Kawasan bandaraya Alor Setar pula kita terpaksa bangunkan kediaman bertingkat kerana ruang tanah semakin terhad, kini kita benarkan dibina sehingga 30 tingkat kerana ia menjadi pusat tumpuan,” katanya.

Mukhriz berkata, G Residence merupakan konsep kediaman baharu di bandaraya Alor Setar, menawarkan pangsapuri perkhidmatan mewah 25 tingkat dengan ruang komersil dan kedai serbaneka selain dilengkapi kemudahan perkhidmatan lain.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan akan terus berusaha memenuhi keperluan kediaman rakyat melalui pelbagai program pembangunan perumahan mampu milik. Di Kedah, beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedang dirancang, dalam pembinaan dan telah siap,” katanya.

Antaranya, sebanyak 312 unit rumah di Naga Sari, Kepala Batas telah diserahkan kepada pemilik, 500 unit PPR Kota Setar dalam proses tapisan, 630 unit PPR Ayer Hitam siap sepenuhnya untuk diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Lain-lain termasuk 286 unit PPR Kuala Nerang dalam pembinaan, 208 unit di Amanjaya dan 80 unit di PPR Sinar Intan, Sungai Petani selesai proses temuduga untuk pengisian,” katanya.

Tambahnya, 500 unit di Kuah dan 500 unit lagi di Ulu Melaka, Langkawi sedang dalam pembinaan.