KUALA LANGAT - [DIKEMASKINI] Polis menggempur dua kilang di Jenjarom, di sini, selepas didakwa beroperasi dan dilindungi kumpulan gangster.
Serbuan membabitkan 70 anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) dijalankan pada jam 12.30 tengah hari, semalam.
Menerusi operasi Ops Simbah dan Ops Cantas Khas ini, seramai 21 individu termasuk tiga warga tempatan berjaya ditahan hasil pemeriksaan 266 individu.
Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Kongsi Gelap JSJ Bukit Aman, Asisten Komisioner Azmi Abdul Rahim berkata, serbuan di premis pertama yang merupakan kilang memproses dan menyimpan sisa plastik di Sungai Rambai telah memeriksa seramai 20 individu.
Katanya, dan hasilnya seramai 16 orang ditahan membabitkan sembilan warga Bangladesh, China (6) dan seorang wanita tempatan.
"Susulan itu, di premis kedua yang juga merupakan kilang bateri turut menahan lima lelaki membabitkan dua warga tempatan serta tiga warga Bangladesh.
"Operasi turut melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Selangor serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Langat," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Tambah Azmi, hasil serbuan dan pemeriksaan terhadap kedua-dua premis mendapati pemilik premis memiliki lesen perniagaan yang sah dari Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).
"Lesen Gudang Pengilang Berlesen (GPB) 2019 juga masih sah dan ia disahkan oleh pasukan bantuan dari PBT Kuala Langat," katanya.
Menurutnya, perjumpaan bersama pemilik premis juga telah mendedahkan tiada wujud elemen-elemen keganasan dan kongsi gelap dalam mereka menjalankan operasi. Premis ini tidak dilindungi atau berselindung disebalik mana-mana kumpulan gangster.
"Namun diakui ada pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan sistem pengurusan premis ini kerana banyak menggunakan pekerja asing, aktiviti operasi juga banyak menimbulkan pencemaran alam sekitar selain wujud ancaman kesihatan kepada penduduk tempatan," katanya.
Tegasnya, pihak D7 Bukit Aman akan terus memantau sekiranya ada wujud unsur-unsur gangsterisme yang mengganggu gugat di daerah tersebut dan pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan mereka yang cuba menakutkan masyarakat.