JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] UMNO tidak boleh mempunyai perlembagaan seolah-olah masih lagi parti kerajaan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurutnya, UMNO mesti menjadi parti yang fleksibel bagi meyakinkan serta memudahkan orang ramai untuk menyokong sekali gus menjadi ahlinya.
"Ramai orang yang nak menyokong UMNO, ramai orang yang nak menolong UMNO. Tapi mereka tak tahu macam mana," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru, di sini hari ini.
Mohamad berkata, dengan berlakunya pindaan perlembagaan UMNO kelak, wujud lapisan-lapisan keahlian untuk mempermudahkan proses pentadbiran parti.
Beliau menegaskan, pindaan perlembagaan parti bukan untuk menyingkirkan mana-mana individu, sebaliknya membuka seluas-luasnya UMNO kepada orang ramai terutama golongan muda untuk menjadi ahli.
Selain itu, katanya, langkah mengaktifkan semula pendaftaran dalam talian juga akan melonjakkan semangat golongan muda untuk sertai UMNO.
"Ramai anak muda yang nak menceburi bidang politik. Tapi susah nak jadi ahli UMNO. Tiga kali isi borang pun tak dapat jadi ahli UMNO.
"Minta maaf cakaplah, ada ketua cawangan yang takut anak-anak muda yang berkelayakan. Tapi ini proses semula jadi, proses organik," katanya.