Semua pihak perlu tangani buli bersama

Iklan
Lee Lam Tyhe (tengah) bergambar bersama sebahagian penerima sijil pelantikan Ahli Jawatankuasa MCPF Kedah, hari ini.

ALOR SETAR - Kes buli kalangan pelajar perlu ditangani bersama susulan senario itu dilihat semakin serius kebelakangan ini.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Tyhe berkata, semua pihak perlu berganding bahu memastikan gejala sosial itu tidak terus menular dan menjadi trend pelajar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak sekolah, jabatan pendidikan serta ibu bapa perlu duduk berbincang bagi menangani situasi itu.

"Ia sebahagian masalah sosial dalam negara, MCPF tidak terkecuali memainkan peranan dengan menganjurkan aktiviti, seminar dan program pencegahan jenayah kalangan remaja dan pelajar.

Iklan

"Kita akan bincang isu ini dan kemuka cadangan kepada pihak berkuasa,” katanya, selepas menyampaikan sijil pelantikan kepada Ahli Jawatankuasa MCPF Kedah dan sambutan Hari Raya MCPF negeri, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob.

Iklan

Lam Tyhe berkata, pihak berkuasa tempatan juga harus menggiatkan penguatkuasaan undang-undang dengan memantau berterusan lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan gejala sosial.

"Contohnya, ada sindiket tertentu pengaruhi anak muda dan pelajar gunakan vape dengan menjualnya pada harga rendah. Jadi orang ramai perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa menyalurkan maklumat,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa juga diminta memainkan peranan lebih berkesan dalam mendidik anak terutama mempertingkatkan pengawasan terhadap anak bawah usia 18 tahun.

"MCPF hanya dapat bantu dengan berikan program pendidikan kepada generasi muda agar tidak terjerumus dalam gejala sosial, selain tingkatkan tahap kesedaran mereka,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial video seorang pelajar dibelasah beberapa individu sehingga ‘kejang’. Di dalam video berdurasi 0:24 saat itu, mangsa terlebih dahulu dipukul di bahagian muka sebelum ditarik dan dihumban ke lantai.

Siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan mangsa memburukkan nama suspek kepada orang lain.

Dua pelajar lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.