AMK tolak cadangan ambil pekerja Afrika

Iklan

SHAH ALAM - Cadangan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran untuk mengambil pekerja asing daripada Afrika bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor perladangan adalah tidak relevan.

Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Jestin Raj Savarimuthu, kemasukan warga asing yang mempunyai masalah jenayah seperti penipuan dalam talian dan dadah adalah terdiri daripada warga Afrika.

Iklan
Iklan

"Adakah ini sahaja solusi yang boleh dicadangkan? Mengapa tidak mengambil langkah-langkah yang lebih efisen untuk memajukan teknologi perladangan Malaysia, di mana ianya dapat memberi peluang kepada pekerjaan anak-anak tempatan diluar bandar," soal beliau.

Jestin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kulasegaran yang berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga pekerja dalam sektor perladangan pada masa akan datang.

Iklan

Ujar Kulasegaran, cadangan itu berikutan pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak mahu lagi datang untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal.

Dalam pada itu, Jestin berkata, dalam Manifesto Pakatan Harapan telah mengusulkan tentang Latihan Percuma untuk menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Iklan

"Dengan pendekatan teknologi robotik dan automasi, akan berlaku penjimatan kos dan tenaga buruh dalam bidang pertanian.

"Kerajaan sepatutnya menggalakkan usaha untuk maju ke hadapan dan bukanlah masih mencari tenaga buruh asing yang murah dalam kalangan negara dunia ketiga.

"Inisiatif-inisiatif seperti ini dapat mengurangkan peratusan golongan B40 serta peningkatan jumlah pengangguran dapat diturunkan dengan kemahiran ilmu selain daripada pemberian wang," jelasnya.

Tegas beliau, pengurangan pekerja asing daripada enam juta orang kepada empat juta orang seperti yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan secara jelas menolak cadangan kemasukan pekerja asing dari Afrika.

"Kerajaan seharusnya menitik-beratkan kepentingan rakyat terlebih dahulu daripada warga asing dengan mengambil inisiatif dan langkah lebih progresif terhadap peluang pekerjaan dan kemajuan sektor perladangan," katanya.