IPOH - Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan ke atas syarikat pengeluar air mineral yang tercemar bakteria Pseudomonas aeruginosa selepas siasatan dibuat ke atas produk terbabit.
Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, syarikat tersebut mempunyai beberapa jenama air mineral yang dijual di Malaysia dan pihaknya akan terus memantau produk secara berkala keselamatan produk makanan yang dijual.
"Pemantau dibuat termasuk air mineral di beberapa peringkat sama ada sudah dijual di pasaran atau semasa diproses dan dalam hal ini kita belum kenal pasti kelompok mana yang terlibat dengan pencemaran bakteria.
"Kita perlu kenal pasti sama ada satu kelompok yang terkena atau keseluruhan pengeluaran dan bagaimana boleh berlaku," katanya selepas merasmikan Hari Kesihatan dan Keluarga di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Ava Marian Convent di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Agensi Makanan Singapura (SFA) yang mengumumkan larangan import kesemua air minuman dan air mineral dalam botol daripada pengeluar dari Malaysia selepas dikesan buat kali kedua mengandungi Pseudomonas aeruginosa, sejenis bakteria yang selalunya ditemui pada najis, tanah, air dan kumbahan.
Semalam, Boon Chye dalam satu sidang media berkata, kementeriannya sedang menjalankan siasatan ke atas air minuman dalam botol dari sebuah syarikat pengeluar Malaysia yang dilarang masuk ke Singapura kerana didapati mengandungi bakteria.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu air minuman tercemar bakteria dalam siasatan
Dalam pada itu, beliau menjelaskan sekiranya pencemaran bakteria berlaku di peringkat pengeluaran, pihaknya akan mengarahkan syarikat tersebut memperbetulkan pengeluaran dan tindakan diambil malah jika kelompok tersebut sudah dikeluarkan untuk pasaran Malaysia ia perlu dipanggil semula.