3,992 kes ponteng sekolah direkodkan di Johor

Iklan
Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak 3,992 kes ponteng sekolah direkodkan data eRekod Kaunseling Sekolah-Sekolah Negeri Johor sejak Januari hingga Jun lalu.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, kes ponteng yang telah diselesaikan setakat ini adalah 298 kes di mana murid terlibat telah menunjukkan perubahan tingkah laku iaitu tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Iklan
Iklan

"Selebihnya, masih dalam proses bimbingan dan kaunseling serta dilakukan secara berterusan sehingga akhir tahun persekolahan 2019,” katanya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) mengenai langkah terkini bagi memastikan kadar ponteng kelas dan sekolah semakin berkurangan di Johor.

Iklan

Aminolhuda (PH-Parit Yaani) berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah melaksanakan pelancaran program Ziarah Cakna di pelbagai peringkat pada 27 Januari lalu.

"Program ini merupakan lawatan guru ke rumah-rumah murid untuk bertemu ibu bapa atau penjaga berbincang dan bertukar fikiran dalam mengatasi isu atau masalah anak-anak mereka.

Iklan

"Ia juga bertujuan untuk memberikan bantuan sokongan seterusnya mewujudkan huhungan baik dan jaringan kerjasama antara sekolah dan ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Beliau berkata, setakat Januari hingga Jun lalu, sebanyak 3,731 keluarga telah dilawati menerusi program Ziarah Cakna yang dianjurkan dengan membabitkan 4,833 murid.

Selain itu, katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor juga melaksanakan pelancaran program Jom Ke Sekolah Tahun 2019 serentak di semua peringkat pada 18 Februari lalu.

"Ia bertujuan untuk menggalakkan murid-murid hadir ke sekolah pada setiap hari persekolahan. Dengan cara ini, dapat mempertingkatkan usaha pihak sekolah ke arah pembentukan sahsiah dan kemenjadian murid dalam semua lapangan,” katanya.