KEPALA BATAS - Seorang peniaga wanita kerugian RM 10,000 selepas dipercayai terperdaya dengan ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.
Mangsa yang berumur 53 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan memberitahu mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, akibat takut mangsa mengikut arahan sekali gus membuka akaun Bank Rakyat untuk menyelamatkan wang di dalam Tabung Haji miliknya.
”Dalam kejadian 18 Disember lalu, mangsa terkejut serta terlalu takut dan tanpa berfikir panjang terus beri nombor kad ATM bahagian depan dan belakang serta nombor PIN miliknya kepada pemanggil tersebut seperti yang diarahkan," katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian menyedari terdapat satu transaksi pindahan wang ke dalam satu akaun bank tanpa pengetahuannya dalam masa satu hari melibatkan wang keseluruhan RM10,000.
"Yakin dirinya sudah terperangkap sindiket penipuan, wanita itu membuat laporan polis dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Noorzainy berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.
"Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan.
"Orang ramai juga diingatkan tidak mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad ATM atau nombor kad kredit kepada individu yang tidak dikenali," katanya.