Bumbung asrama lelaki SMK Sega runtuh

Iklan
Batu-batu yang terletak di bahagian atap asrama SMK Sega telah runtuh yang boleh mendatangkan bukan sahaja kecederaan malah maut kepada pelajar sekolah.

KUANTAN - Sebahagian bumbung asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Sega, di sini, runtuh baru-baru ini.

Pegawai Khas Timbalan Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Raja Rashid berkata, pihaknya dan pejabat Parlimen Raub turun padang ke sekolah tersebut bagi meninjau isu itu setelah menerima aduan masyarakat setempat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, maklumat awal daripada pihak bomba, blok batu dari atap bumbung terjatuh kerana gegaran yang dibuat oleh saluran paip air di dinding atas tersebut.

"Dari pemerhatian kami, dinding tersebut sememangnya tidak diikat (disimen) dengan baik dan keadaan ini boleh mendatangkan kecederaan kepada pelajar.

Iklan

"Jika sememangnya terdapat unsur culas atau ketirisan, kami akan membawanya ke pihak atasan agar perkara ini tidak akan berulang," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Dalam pada itu, Raja berkata, pihaknya kecewa kerana bukan sahaja asrama itu yang mengalami kerosakan malah bangunan sekolah juga turut terjejas dan retak.

Iklan

"Sekolah ini baru sahaja setahun dibuka namun sudah mula retak di samping masih tidak mempunyai peralatan dan prasarana yang mencukupi seperti alat bengkel dan alat sukan.

"Bagi pihak pejabat parlimen, kami telah pun menyumbangkan beberapa set komputer kepada pihak sekolah bagi tujuan pengurusan.

"Bagi dua mangsa yang terlibat ketika atap itu runtuh, kita beri sedikit sumbangan yang mampu memberi senyuman dan meringankan beban mereka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melakukan siasatan menyeluruh bagi mengetahui punca kerosakan di sekolah tersebut.