Remaja maut kereta dipandu terjunam dalam parit

Iklan
Kenderaan dipandu mangsa terbabas lalu terjunam ke dalam parit di Kampung Batu 4, Sepintas, di sini pagi tadi.

SABAK BERNAM - Seorang remaja yang dalam perjalanan pulang dari bermain futsal maut apabila kereta dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam parit di Kampung Batu 4, Sepintas, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Fariz Jamari, 19, yang memandu bersendirian meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera di kepala dan patah paha kanan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu Proton Wira dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bedena, Sungai Besar menuju ke rumahnya di Kampung Batu 4, Sepintas.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal kenderaannya hingga terbabas ke sebelah kiri jalan lalu terjunam ke dalam parit.

Iklan

"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Kenderaan dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan," katanya kepada Sinar Harian.

Nor Azmi memberitahu, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Iklan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.