Lelaki maut treler dipandu hilang kawalan

Iklan
Pemandu treler maut apabila kenderaan dipandunya secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik. (Gambar kecil, Roha Zarihan Hamzah @ Hashim).

ALOR GAJAH - Seorang pemandu treler maut apabila kenderaan dipandunya secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di Kilometer 216, selepas kawasan susur dari Plaza Tol Simpang Ampat menghala utara Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Roha Zarihan Hamzah @ Hashim, 39, berasal dari Pasir Mas, Kelantan maut di tempat kejadian selepas tersepit di dalam kabin treler.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hassan Basri berkata, mayat mangsa telah dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

"Treler dipandu mangsa dari Plaza Tol Simpang Ampat menghala ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di susur selekoh keluar dari plaza tol berkenaan di Kilometer 216, kenderaan terbabit dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan sebelah kanan sebelum terbalik.

Iklan

"Mangsa telah tersepit dan kemudian dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala kenderaan terbabit dialihkan dan dihantar untuk pemeriksaan Puspakom.

Iklan

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.