KUANTAN - Seorang juruwang berdepan detik cemas apabila diacukan parang pada kejadian rompakan di sebuah stesen minyak di Chenor, Maran dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, mangsa yang berusia 23 tahun mendakwa dua suspek lelaki itu melarikan wang tunai kira-kira RM800 pada kejadian 9.40 pagi.
"Mangsa mendakwa suspek masuk ke kedai serbaneka dan terus menuju ke kaunter sebelum salah seorang mengacukan parang supaya dia tidak menjerit meminta tolong.
"Suspek mengarahkan mangsa untuk membuka mesin simpanan wang sebelum seorang suspek lagi didakwa masuk ke belakang kaunter bagi mengambil wang tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa mendakwa kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki Produa Myvi berwarna putih.
"Mangsa yang tidak cedera terus menghubungi penyelia stesen minyak bagi memaklumkan kejadian sebelum membuat laporan polis.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata," katanya.
Norzamri berkata, rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kejadian rompakan itu juga tular di media sosial mulai malam tadi. - Bernama