RIYADH - Dua dron pemberontak Yemen yang menyasarkan selatan Arab Saudi berjaya dipintas semalam, kata tentera gabungan negara itu yang diketuai Riyadh.
Dron pertama menyasarkan wilayah Jizan sementara dron kedua menyasarkan kawasan kediaman di wilayah Asir, kata kenyataan tentera gabungan Arab Saudi yang dikeluarkan agensi Saudi Press.
Setakat ini tiada sebarang laporan kerosakan atau kematian diterima.
Menurut penyiar rasmi Houthi, Al-Masirah TV, kumpulan pemberontak itu mendakwa melakukan serangan dron ke atas lapangan terbang di Jizan dan Abha.
Pemberontak Houthi yang dikaitkan dengan Iran kerap berdepan pengeboman pihak tentera gabungan sejak Mac 2015 bertindak meningkatkan serangan misil dan dron di seluruh kawasan sempadan beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada 12 Jun lalu, serangan misil pemberontak Houthi ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di wilayah Asir mencederakan 26 orang awam sekali gus mencetuskan tindakan tegas daripada tentera gabungan.
Seterusnya, pada 23 Jun lalu, satu lagi serangan pemberontak di lapangan terbang sama meragut nyawa seorang warga Syria dan mencederakan 21 yang lain.
Serangan berlaku pada ketika ketegangan serantau memuncak apabila Washington, sekutu utama Riyadh menuduh Iran menembak jatuh dron pengintip tentera laut Amerika Syarikat dan mendalangi serangan ke atas kapal komersial di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Teluk Oman.
Arab Saudi turut menuduh Iran membekalkan senjata canggih kepada pemberontak Houthi, satu dakwaan yang dinafikan oleh Teheran. - AFP