BANGI - Pas mempertahankan kenyataan kontroversi oleh Ketua Dewan Ulamaknya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh bahawa parti itu wajib menjatuhkan PH.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, sememangnya menjadi tugas pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
"Konsepnya mudah sahaja, gabungan pembangkang hari ini memang bekerja siang dan malam untuk menjatuhkan kerajaan yang ada. Itu memang tugas kami.
ARTIKEL BERKAITAN: Ulamak Pas kata wajib jatuhkan PH
"Seruan itu dibuat kepada para perwakilan supaya bekerja sebaik mungkin untuk menjatuhkan kerajaan yang ada. Memang sesuailah, takkan kami nak buat seruan supaya kekalkan PH," katanya pada sidang media di Majlis Jamuan Raya Perpaduan Ummah anjuran bersama Pas, UMNO, Ikatan dan Isma Bangi di sini hari ini.
Dalam ucapan penggulungannya di Muktamar Tahunan Pas ke-65 baru-baru ini, Nik Muhammad Zawawi berkata, wajib hukumnya bagi parti itu menjatuhkan kerajaan PH.
Susulan itu, beberapa pemimpin PH membidas kenyataan Nik Muhammad Zawawi termasuk Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang menyifatkannya sebagai 'fatwa' mengarut.
ARTIKEL BERKAITAN: Fatwa ahli politik sekadar bahasa, kata Mufti Kelantan
Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, seruan itu juga sesuai untuk rakyat Malaysia berikutan kegagalan PH menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan.
"Kerajaan hari ini dilihat dengan jelas tidak mendokong aspirasi nasional dan saya ingin menambah bahawa kerajaan PH wajib dijatuhkan dalam pilihan raya akan datang," katanya.
Ditanya mengenai cabaran agar Nik Muhammad Zawawi mengadakan dialog bagi memberi penerangan berkenaan kenyataannya itu, Kamaruzaman berkata, Pas bersedia memberi sokongan.
"Kami bersedia 25 jam sehari dan lapan hari seminggu. Panggil kami dan kami sedia berdialog pada bila-bila masa dan oleh sesiapa saja.
"Tetapkan tempat dan siapa panel di sebelah sana, Insya-ALLAH kami akan hadir," katanya.