Kerajaan setuju teruskan HOC bagi tempoh enam bulan lagi

Iklan

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju meneruskan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi tempoh enam bulan lagi iaitu sehingga 31 Disember ini bagi menggalakkan peningkatan jumlah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia dan mencapai objektif mengurangkan bilangan rumah tidak terjual.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kementerian itu menerima permohonan daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang menyokong Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) untuk melanjutkan tempoh kempen tersebut.

Iklan
Iklan

"Kempen HOC menggabungkan insentif kerajaan dalam bentuk pengecualian duti setem dan insentif oleh pemaju perumahan yang memberikan diskaun harga pembelian sekurang-kurangnya 10 peratus.

"HOC telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai kerana insentif pengecualian duti setem dan pemberian diskaun sebanyak 10 peratus dapat mengurangkan kos pemilikan rumah kediaman terutamanya bagi rakyat Malaysia yang belum pernah memiliki rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

HOC diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2019 dan dilaksanakan bermula 1 Januari 2019 sehingga 30 Jun 2019 merupakan satu bentuk kerjasama antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Rehda.

Rehda bersama- sama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (Shareda) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (Sheda) telah terlibat sepenuhnya dalam kempen HOC dengan tujuan utama untuk membantu rakyat Malaysia memiliki rumah kediaman dengan harga dan kos yang lebih rendah, dan pada masa yang sama menangani isu hartanah yang tidak terjual (supply overhang).

Iklan

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, berdasarkan laporan Pusat Maklumat harta Tanah Negara (Napic), bilangan kediaman yang tidak terjual di Malaysia telah meningkat kepada 32,313 unit bernilai RM19.86 bilion sehingga suku ke empat 2018.

"Ini mencerminkan cabaran kemampuan pemilikan rumah yang berlanjutan serta ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah di pasaran.

"Berbanding dengan suku keempat 2017, ini merupakan peningkatan sebanyak 30.6 peratus daripada segi bilangan kediaman yang tidak terjual dan sebanyak 27 peratus dari segi nilai kediaman tersebut," katanya.

Tambahnya, selain insentif untuk HOC, kerajaan juga telah menyediakan insentif bagi pembelian rumah pertama (tanpa mengira pembelian daripada pemaju perumahan atau secondary market).

"Harga rumah sehingga RM300,000, pengecualian duti setem bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman. Tempoh pengecualiannya adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2020.

"Sementara itu untuk harga rumah RM300,001 dan RM500,000, pengecualian duti setem bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman (pengecualian terhad kepada RM300,000 pertama harga rumah tersebut). Tempoh pengecualiannya adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2020," katanya.

Justeru, Guan Eng menyarankan kepada rakyat yang masih belum memiliki rumah kediaman sendiri tetapi berhasrat untuk membeli daripada pemaju perumahan yang tidak berdaftar dengan Rehda atau secondary market boleh menuntut pengecualian duti setem di bawah inisitif tersebut.