BALING- Tragedi kanak-kanak 6 tahun yang maut setelah bermain 'tumbuk-tumbuk' dengan bapa saudaranya di sebuah rumah di Kampung Bandar, Mukim Siong, semalam bukanlah perkara yang disengajakan.
Ibu saudara mangsa, Nur Maizatul Akmar Abd Aziz,27, berkata, kejadian itu berlaku 7.30 petang kelmarin dan mangsa Muhammad Azfar Qayyum Md Said dipercayai terkena hentakan objek keras ketika bermain 'tumbuk-tumbuk' dengan suspek yang berusia 16 tahun yang juga merupakan penghidap Sindrom Down.
Nur Maizatul Akmar berkata, tragedi itu amat menyedihkan mereka sekeluarga kerana hubungan suspek dan mangsa sangat rapat dan selalu bermain bersama.
"Saya sangat kenal adik saya. Walaupun dia Sindrom Down tapi dia amat sukakan budak-budak. Selama ini mereka bermain bersama pun tak pernah jadi apa-apa," katanya.
Menurutnya, ketika kejadian itu, ibu mangsa ada menegur kedua-dua mereka supaya tidak bermain begitu.
"Pagi semalam, arwah masih sihat dan hanya ada kesan lebam di muka. Sebelum kakak saya (ibu mangsa) keluar berniaga nasi lemak, arwah ada minta padanya untuk bancuhkan air milo.
"Arwah juga sempat melambai tangan kepada ibunya yang ketika itu sedang memakai tudung hinggalah keluar rumah," katanya.
Nur Maizatul Akmar berkata, bagaimanapun mangsa didapati tidak sedarkan diri pada tengah hari tersebut dan disedari oleh bapanya sendiri. Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.
"Pihak hospital memaklumkan mangsa dibawa keluarga kerana tidak sedarkan diri di rumah.
"Pada jam 2.20 petang pihak hospital sahkan mangsa telah meninggal dunia empat hingga lima jam sebelum itu," katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terdapat kesan lebam di kepala dan badan mangsa.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.