KUANTAN - Tiga termasuk seorang bayi berusia setahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 124, Jalan Kuantan-Johor Bahru di Rompin dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Zainal Omar Mahamud berkata, pada kejadian 9.30 malam itu, pemandu kedua-dua kereta maut di tempat kejadian iaitu seorang anggota polis, Sarjan Zainuddin Bakar, 57, dan Bayam Ija, 53.
Menurutnya, cucu Zainuddin, Mohd Aras Iskandar pula telah disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Rompin.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Hyundai Accent dipandu Zainuddin dari Kuantan ke Mersing, Johor terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta Proton Iswara dinaiki Bayam.
"Kemalangan itu turut menyebabkan anggota keluarga Zainuddin, iaitu isteri dan anak perempuannya cedera di kepala, manakala anak tirinya yang berusia tujuh tahun selamat.
"Dua lagi rakan Bayam pula masing-masing cedera di kepala dan patah kaki,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Zainal Omar berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, seramai enam anggota JBPM Rompin terlibat dalam operasi ini.
"Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan mangsa berjaya dikeluarkan dan diserah kepada pihak polis.
"Mangsa cedera dihantar ke Hospital Kuala Rompin menggunakan jentera EMRS bomba dan ambulan hospital," katanya.