Aaron Aziz berlakon filem Hong Kong

Iklan
Aaron Aziz berlakon filem Hong Kong berlakon filem Hong Kong

KARYA - karya filem dari Hong Kong sememangnya sinonim dengan genre aksi yang cukup tangkas dan mendebarkan.

Begitu jugalah dengan filem Undercover Punch and Gun, sebuah filem aksi jenayah Hong Kong yang diarahkan oleh Philip Lui dan Frankie Tam.

Iklan
Iklan

Filem yang sudah ditayangkan sejak semalam ini turut menampilkan barisan pelakon popular yang berpengalaman Hong Kong seperti Philip Ng, Andy Onimal, Van Ness WuKitty Jiang, Feng Wen Juan, Aka Chio, Chi Shuai, Jia, Lam Suet, Susan Shaw dan pelakon Malaysia, Datuk Aaron Aziz.

Bercerita mengenai penglibatannya dalam filem ini, Aaron berkata, selain barisan pelakon yang mantap, dia juga ingin mencuba kelainan dalam kerjaya lakonannya.

Iklan

"Semuanya berjalan dengan lancar sepanjang penggambaran dan layanan yang diberikan kepada semua pelakon juga adalah sama rata.

"Cuma memandangkan penggambaran banyak dilakukan di pelabuhan dan banyak kontena, keadaan agak panas, sedikit kurang selesa dan ia memberikan cabaran buat saya,” ujarnya.

Iklan

Tambah Aaron, sepanjang penggambaran kebajikannya turut dijaga dengan baik.

Malah, dia turut disediakan dengan makanan halal oleh pihak produksi.

Aaron berkata, dapat beraksi dengan filem luar seperti Hong Kong merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan sama sekali.

"Walaupun terdapat perbezaan terutama dari segi bahasa namun mereka masih memberi peluang kepada pelakon Melayu seperti saya untuk berlakon dengan mereka.

"Itu adalah salah satu sebab juga saya bersetuju berlakon untuk filem ini dah mahu membuktikan yang pelakon-pelakon kita juga boleh menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Pelakon Aaron Aziz

Filem ini berkisar mengenai seorang polis yang menyamar terpaksa bekerjasama dengan sekumpulan pasukan khas yang menentang penyeludupan dadah.

Antara lain yang menarik mengenai filem ini adalah penglibatan Gordon Chan sebagai penerbit filem.

Gordon Chan kini dikenali sebagai penerbit ketua generasi baru filem Hong Kong kerana mempunyai gaya filem yang pelbagai dan tersendiri.

Manakala gabungan Philip Lui dan Frankie Tam pula sememangnya diketahui sebagai antara senior dalam bidang perfileman di Hong Kong.

Philip Lui berjaya membuka pasaran filem China dengan tajuk Chasing the Dragon. Frankie Tam pula telah dicalonkan sebagai penulis skrip terbaik di Anugerah Filem Hong Kong 2011.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan filem ini, Philip Ng yang memikul peranan sebagai watak utama dan juga pengarah aksi memberitahu perancangan untuk penggambaran filem ini sudah pun dilakukan agak lama.

Philip Ng yang mahir dengan seni mempertahankan diri sejak usia 7 tahun menggunakan pengalamannya untuk menghasilkan pengalaman visual yang luar biasa buat penonton.

"Undercover Punch And Gun merupakan filem pertama saya sebagai penerbit, pelakon dan pengarah aksi. Malah, tidak dinafikan ia merupakan satu perjalanan yang sukar.

"Bagaimanapun, ia sangat memberi kepuasan terhadap saya kerana diberi kebebasan dalam koreografi yang belum pernah saya dapat sebelum ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, semua yang terlibat telah memberi sepenuh hati mereka dalam menjayakan projek ini termasuk dirinya bersama Andy Onimal dan Van Ness Wu yang telah berbincang perkara ini setelah sekian lama.

"Kami juga sangat berbangga kerana akhirnya dapat bergabung untuk menghasilkan projek penerbitan filem ini dengan barisan pelakon yang hebat,” ujarnya.

Undercover Punch and Gun mengisahkan pengintip Wu terlibat dalam perdagangan dadah dengan gengnya. Semasa transaksi, anggota pasukan khas mengganggu operasi tersebut.

Xia adalah salah seorang peniaga dadah terbesar yang menjalankan perdagangan dadah dengan menggunakan pelayarannya, dia menangkap Wu dan mengancamnya untuk mendapatkan semula dadahnya.

Eva dan Mike, anggota pasukan khas menyertai Wu untuk mencari pembuat dadah dan mereka mengakui bahawa Xia adalah bekas ahli mereka dalam pasukan khas.

Wu, Mike dan Eva telah memutuskan untuk bekerjasama untuk bertarung dengan Xia.

Apakah yang akan berlaku seterusnya? Jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.