Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata, ia juga mampu memberikan ilmu kepada golongan muda sekali gus dilihat mampu membantu dalam usaha membentuk generasi pemimpin pelapis pada masa hadapan.
"Memang kita mahukan semangat serta tenaga anak muda dan kita serius dalam perkara ini. Lagipun di KRT ada ramai yang dah terlibat lebih 10 tahun.
"Jadi anak muda ini akan dapatkan ilmu daripada mereka khususnya bagaimana untuk menjadi pemimpin masyarakat,” katanya pada sidang media Program Semarak Perpaduan di Hati Peringkat Zon Utara di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurutnya, sebanyak 8,200 KRT di seluruh negara hari ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan di peringkat akar umbi.
"Bagaimanapun, di sebalik beberapa KRT yang aktif dengan pelbagai aktiviti masih ada KRT yang tidak aktif dan perlu digerakkan selepas ini," katanya.
Sementara itu Md Farid berkata, pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Japnin) bakal menganjurkan ‘Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan’ di ibu negara mulai 20 hingga 21 Julai ini.
"Sambutan ini akan melibatkan warga jabatan dari seluruh negara dan majlis perasmiannya akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.
"Warga perpaduan dari seluruh negara akan berada selama dua hari di ibu negara. Butiran lanjut akan kita uar-uarkan lagi selepas ini,” katanya.