ALOR SETAR - Kerajaan akan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan dalam sektor perladangan sebelum mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor berkenaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia masih di peringkat cadangan awal dan kementerian tidak akan membuat keputusan yang terburu-buru.
"Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran hanya melahirkan kebimbangan sekiranya tiada pekerja asing lain, kita terpaksa ambil dari Afrika sebagai pilihan terakhir,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, rakyat negara ini tidak perlu gusar kerana cadangan itu belum dimuktamadkan.
"Cadangan pengambilan pekerja dari Afrika itu hanya untuk sektor perladangan, yang berdepan masalah kekurangan pekerja kerana pekerja tempatan memang tidak berminat bekerja dalam sektor tersebut,” katanya.
Mahfuz berkata, disebabkan itu, sejak dahulu lagi kerajaan membuka peluang tersebut untuk diisi pekerja asing melibatkan enam sektor, iaitu pembinaan, perkilangan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian, serta pembantu rumah.
"Sektor pekerjaan yang sukar, kotor dan berbahaya (3D) diketahui tidak diminati pekerja tempatan, jika berterusan sektor itu akan alami pengurangan pekerja serta merencatkan pertumbuhan ekonomi negara khususnya perladangan seperti kelapa sawit dan getah,” katanya.
Menurutnya, pihaknya peka dengan kebimbangan orang ramai sekiranya kerajaan membawa masuk warga Afrika, kerana budaya hidup yang berbeza berbanding pekerja dari Indonesia dan Vietnam.
"Pada masa sama, kerajaan akan berusaha mencari pendekatan untuk menarik minat pekerja tempatan menceburi sektor ladang, selain pastikan pekerja dari Indonesia dan Vietnam dapat terus dibekalkan bekerja di sini,” katanya.
Mahfuz percaya, penolakan anak muda tempatan adalah berpunca daripada gaji kurang menarik selain menganggap sektor perladangan sebagai sektor yang lekeh.
"Tak sepatutnya generasi muda kini tiada minat sedangkan generasi terdahulu banyak teroka tanah ladang, kita harus cari sebabnya dan penyelesaian untuk atasi kemelut ini. Perlu ada usaha tingkatkan kesedaran kalangan pekerja tempatan untuk ceburi sektor ini,” katanya.
Sebelum ini, Kula Segaran berkata, cadangan itu diketengahkan selepas pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak mahu lagi datang bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal.