Pembantu kedai rugi RM95,000 ditipu sindiket menyamar polis

Iklan
Mohd Wazir

KUANTAN - Seorang pembantu kedai rugi RM95,000 selepas ditipu dua anggota sindiket yang menyamar sebagai anggota polis.

Mangsa yang berusia 34 tahun diperdaya kononnya terlibat dalam kes berat termasuk langgar lari, terlibat aktiviti pengedaran dadah dan memiliki wang RM2 juta hasil pengubahan wang haram.

Iklan
Iklan

Bimbang ditangkap selepas kesnya dikatakan sudah dalam peringkat perbicaraan di mahkamah, mangsa akur apabila membayar wang jaminan RM95,000 seperti diarahkan sebelum menyedari dirinya tertipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Sarjan Salina dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada 20 Mac lalu memaklumkan dia terlibat dalam kes langgar lari mengakibatkan seorang remaja maut.

Iklan

Menurutnya, berdasarkan penjelasan pegawai polis terbabit, kereta jenis Honda yang terlibat dalam kemalangan itu didaftarkan atas namanya, namun mangsa menafikan perkara itu.

"Seperti biasa, suspek menjerat mangsa kononnya dia turut terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan dikesan memiliki wang RM2 juta dalam sebuah akaun bank atas namanya dipercayai hasil aktiviti pengubahan wang haram.

Iklan

"Selepas mangsa menafikan terlibat dalam kes disebutkan, suspek menyambung panggilan kepada rakannya menyamar sebagai pegawai yang mengendalikan kes itu bagi tujuan pengesahan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pegawai yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Fazura itu memaklumkan kes tersebut kini dalam proses perbicaraan namun dia boleh membantu mangsa membuat rayuan kepada hakim mohon jaminan agar tidak ditangkap.

"Pada 21 Mac, kira-kira jam 10 pagi, mangsa menerima panggilan daripada pegawai berkenaan memaklumkan dia sudah berjumpa hakim minta waran tangkap yang dikeluarkan ke atas mangsa dibatalkan dengan syarat perlu membayar wang jaminan dan kos guaman.

"Mangsa yang bimbang ditangkap akur dengan arahan itu apabila membuat bayaran RM95,000 seperti diminta melalui tiga akaun bank atas nama individu berbeza secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata, selepas membayar wang jaminan, mangsa menyedari kes yang dikaitkan dengannya tidak wujud sebaliknya taktik itu hanya digunakan untuk memerangkapnya.

"Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.

"Susulan laporan polis dibuat mangsa, kita buka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan termasuk mengesan tiga pemilik akaun bank yang digunakan bagi membantu siasatan,” katanya.