PUTRAJAYA - Kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM45 bilion bagi 4,000 projek pembangunan untuk tahun ini dan berikutnya.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah peruntukan berkenaan turut melibatkan pemulihan beberapa projek berskala besar sekaligus menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi negara.
"Untuk memastikan pertumbuhan yang teguh dan mapan usaha meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) perlulah bergerak seiring dengan pelaburan domestik.
"E-dagang perlu diberi penekanan untuk memacu ekonomi dan demokrasi ekonomi yang menggalakkan lebih peluang.
"Secara kolektif, usaha ini akan menambah nilai substantif kepada ekonomi kita terutamanya dalam mencipta peluang pekerjaan, penjanaan kekayaan di samping memperluaskan ekonomi negara,” katanya menerusi rakaman video ucapan pelancaran Persidangan Penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 di sini hari ini.
Katanya, dalam usaha itu kerajaan telah mengurangkan beban pengawal seliaan dengan menyingkirkan non-tariff measure (NTM).
"Sehingga 2018, kerajaan telah mengkaji semula 668 NTM di bawah enam kementerian yang mempunyai anggaran kos pematuhan berpotensi sebanyak RM2.96 bilion, dengan penjimatan kos sebanyak RM739 juta.
"Saya yakin sektor swasta akan terus berkembang seiring dengan usaha kami bagi memastikan pertumbuhan dan kemakmuran bersama sekali gus mencapai matlamat ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen menjelaskan, pembangunan projek-projek tersebut akan dilaksanakan oleh semua kementerian.
"Projek-projek ini kita luluskan menggunakan peruntukan pembangunan bagi tahun ini yang akan dilaksanakan oleh semua kementerian-kementerian yang ada secara berterusan.
"Perlaksanaan projek ini termasuklah pembangunan infrastruktur, pembinaan sekolah, hospital, perumahan dan sebagainya di seluruh negara,” katanya yang hadir mewakili kementeriannya.