LANGKAWI - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi berjaya menggagalkan usaha membawa masuk 788 benih pelbagai pokok dari Thailand yang cuba dibawa masuk melalui jalan air menggunakan bot pelancong pada kira-kira jam 9 pagi semalam.
Pegawai Pemerintah PPM Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, jumlah rampasan anak-anak pokok getah, durian, kedondong dan dokong itu melibatkan kira-kira RM71,000.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut, pihaknya mengesan sebuah lori tiga tan dan sebuah bot enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan di pesisir Pantai Tanjung Rhu dekat sini.
"Kami menahan dua lelaki warganegara Malaysia dan satu lelaki warganegara Thailand kerana cuba membawa masuk anak benih pokok dari negara jiran (Thailand) dengan cara yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Rohizan berkata, terdapat 615 pokok benih getah, 157 pokok benih durian, 10 pokok benih kedondong dan enam pokok benih dokong yang cuba dibawa masuk.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
"Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Polis Marin Langkawi Bukit Malut dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.