87 pertuduhan tak halang tugas sebagai presiden: Zahid

Iklan
Ahmad Zahid - Foto Sinar Harian/Sharifuddin Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Selepas mengumumkan kembali semula sebagai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tampil ‘menenangkan’ ahli partinya agar tidak gusar mengenai 87 pertuduhan mahkamah yang dihadapinya.

Beliau menyatakan pertuduhan undang-undang yang sedang dihadapinya tidak menjejaskan tugasnya sebagai Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Iklan
Iklan

"Soal 87 pertuduhan yang dikenakan kepada saya biar (saya) hadapi secara peribadi di mahkamah. Ia tak libatkan UMNO sebagai entiti politik. Saya serahkan kepada barisan peguam saya untuk uruskan. Tentunya pertuduhan itu tak halang saya jalankan tugas selaku Presiden UMNO dan Ahli Parlimen.

"Saya seru rakan- rakan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan, buang yang keruh ambil yang jernih ibarat biduk lalu kiambang bertaut,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan jawatan Ketua Pembangkang yang kini dipegang oleh Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal begitu juga dengan kedudukan Datuk Seri Mahadzir Khalid sebagai Ketua Whip Pembangkang.

"Hari ini saya telah berada di pejabat Presiden UMNO di Putra World Trade Centre (PWTC), saya juga sudah bertemu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, kami telah membincangkan beberapa tugas yang akan kita laksanakan bersama.

Iklan

"Saya telah mengambil keputusan bahawa persetujuan semua Ahli Parlimen pembangkang yang dulunya sewaktu saya bercuti telah meletakkan Ismail Sabri sebagai ketua pembangkang kekal. Ini bererti buat masa ini ada pembahagian tugas antara saya, Mohamad (Hasan), Ismail Sabri dan Mahadzir sebagai Ketua Whip di kalangan pembangkang,” jelasnya.

Menurut Ahmad Zahid, keutamaannya sekarang ini adalah untuk melihat UMNO terus diterima rakyat dan relevan dalam politik.

"Biar apa pun terjahan isu, tamparan dan pelbagai permasalahan sama ada kepada parti dan kepada kepimpinan.

"Kami (UMNO) akan hadapi semua perkara itu secara kolektif,” ujarnya.

Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan kembali menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO, selepas bercuti selama enam bulan daripada jawatan itu sejak 18 Disember tahun lalu.

Pengumuman itu dibuat Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk.