"SERONOKNYA dapat jumpa abang Hafizul," Itulah luahan Syabil Zakwan Shairul Azmi, 13 apabila hasratnya untuk bertemu dengan penjaga gol skuad kebangsaan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, 25 menjadi kenyataan hari ini.
Menurut Syabil Zakwan, kunjungan penjaga gol itu tambah menceriakannya yang baru sahaja selesai menghadiri sesi pemilihan bagi menyertai pasukan sekolahnya, SM Jelapang Jaya hari ini.
Malah katanya, kesempatan berbual dengan penjaga gol tinggi lampai itu akan dijadikan sebagai antara detik yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.
"Sungguh seronok rasanya bila dapat tahu abang Hafizul nak datang ke rumah saya.
"Saya juga gembira kerana abang Hafizul banyak memberikan nasihat dan memberikan sokongan kepada saya.
"Terima kasih dan saya akan ikut semua nasihat yang diberikan," katanya kepada Sinar Harian.
Syabil Zakwan berkata demikian ketika menerima kunjungan penjaga gol berkenaan di rumahnya hari ini.
Pada kunjungan berkenaan, Syabil Zakwan turut menerima hadiah pemberian Hafizul Hakim seperti jersi serta sarung tangan (gloves) milik penjaga gol berkenaan.
Difahamkan, kunjungan berkenaan adalah berikutan berita yang tersiar di akhbar Sinar Harian mengenai hasrat Syabil Zakwan yang mahu menemui Hafizul yang disifatkannya sebagai idola baginya dalam bidang sukan.
Sinar Harian juga ada menyiarkan kisah Syabil Zakwan anak ketiga daripada sembilan beradik itu bekerja sambilan selepas waktu persekolahan bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga setelah bapanya, Shairul Azmi Abu Bakar 40 , tidak lagi bekerja sejak setahun lalu setelah disahkan mengidap penyakit kronik.
Sementara itu Hafizul Hakim gembira kerana berpeluang menemui Syabil Zakwan serta keluarga berkenaan.
"Saya rasa gembira. Bukan senang nak jumpa peminat. Terima kasih kerana meminati saya.
"Saya doakan kesejahteraan keluarga ini dan adik Syabil Zakwan. Semoga berjaya.Doakan juga kejayaan saya, InsyaaALLAH," katanya.