KUANTAN - Gerakan Perpaduan Ummah perlu terus disemarakkan tanpa ragu untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, sikap dan pendirian itu perlu jelas terutama ketika mendepani tindakan politik PH yang kini semakin terdesak.
Menurutnya, PH ingin lihat Perpaduan Ummah bergerak perlahan dan mahu gagalkan perpaduan atau muafakat antara Pas dan UMNO.
"Kebelakangan ini timbul isu 'wajib jatuhkan PH' yang kemudiannya diangkat dan diperbesarkan oleh mereka walaupun asasnya ia bukan isu atau fatwa seperti yang disebut-sebut.
"Hanya bermula dari ucapan Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh pada Muktamar Pas baru-baru ini, yang menyebut bahawa PH wajib dijatuhkan.
"Ucapan itu kemudiannya digembar-gemburkan oleh beberapa pimpinan PH dan media, lalu ia menjadi isu yang diperdebatkan awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nasrudin berkata, beliau ucapkan kepada Datuk Dr Nik Zawawi kerana sedutan ucapannya itu menjadi isu sehingga pelbagai pihak mula berbahas dan mencari apakah asas, hujah dan dalil PH wajib dijatuhkan.
"Saya gembira apabila semua pihak membahas dan membicarakan isu kenapa wajib PH dijatuhkan, Insya-ALLAH sedikit masa lagi mereka akan lebih jelas malah menemui jawapan kepada persoalan itu. Apa yang saya bimbang kalau masyarakat tidak mahu bincang, bahas dan mencari jawapannya," katanya.
Nasrudin berkata, beliau tidak bermaksud untuk mengheret perbahasan mengenai isu wajib jatuhkan PH cuma melontarkan keyakinan bahawa masyarakat sedia memahami kenapa Ketua Dewan Ulamak Pas itu berkata demikian.
Katanya, beliau percaya akan ada sebahagian yang tidak ikhlas niat perjuangannya, mungkin akan mudah terpedaya lalu hilang harap mereka kepada gerakan Perpaduan Ummah itu.
"Jangan pandang kecil pada kilauan pangkat, kedudukan dan janji wang ringgit yang ditabur. Paling tidak, ia menjadi ejen sabotaj yang boleh melambatkan perjalanan dan menghilangkan kepercayaan ramai.
"Saya tegaskan sekali lagi, hanya keikhlasan berjuang menjadi benteng kukuh dari ancaman gerakan sabotaj ini. Tanpa ikhlas, lahirlah golongan yang tiada arah tuju (muzabzabin) dan golongan yang ragu (was-was)," katanya.
Menurutnya, pada masa sama perlu diingatkan bahawa gerakan sabotaj seperti ini sering kali disambut sebahagian pejuang tanpa sedar terutama oleh mereka yang tidak sabar dalam perjuangan dan mengharapkan kemenangan yang cepat serta keuntungan duniawi yang berlipat.
"Sementara pencetus dan penggerak sabotaj pula adalah terdiri dari musuh perjuangan ini dan bonekanya yang terpedaya dengan pangkat dan kedudukan yang dijanjikan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas pertahan fatwa wajib jatuhkan PH