KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak yang memohon supaya perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) yang masuk hari ke-30 ditangguhkan bagi membolehkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Permohonan itu dikemukakan secara lisan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding yang bermula kira-kira jam 9.45 pagi hari ini.
Sejurus prosiding dimulakan, Muhammad Shafee mohon prosiding ditangguhkan kerana anak guamnya perlu mengundi untuk dua Rang Undang-undang (RUU) yang akan dibahaskan di Parlimen.
Jelas Muhammad Shafee, usul yang akan dibahaskan di Parlimen hari ini membabitkan pengisytiharan harta bagi semua ahli Parlimen dan menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
"Kehadiran anak guam saya diperlukan kerana beliau merupakan ahli parlimen yang perlu mengundi dalam isu tersebut,"ujarnya.
Muhammad Shafee berkata sesi soal jawab di Dewan Rakyat akan bermula jam 10.15 pagi dan dijangka berlarutan sehingga 5 petang maka pihaknya memohon prosiding perbicaraan tersebut ditangguhkan.
Selain itu, Muhammad Shafee turut memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak hadir selama 20 hari sepanjang sesi Parlimen yang bermula Mac lalu.
Muhammad Shafee menambah, dalam kes sebelum ini membabitkan Ahli Parlimen, mahkamah memberikan kebenaran penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendiang Karpal Singh untuk menghadiri sidang Parlimen.
"Permohonan anak guam kami munasabah memandangkan perkara ini memerlukan pembabitannya,” katanya.
Bagaimanapun, Peguam Negara, Tommy Thomas, yang mengetuai pendakwaan membantah permohonan itu dengan alasan undian tidak akan dilakukan hari ini.
Thomas berkata, RUU yang pertama hanya akan dibaca pada jam 5 petang dan berkemungkinan besar undian juga tidak akan dijalankan hari ini.
Bagaimanapun Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib dengan alasan sidang Parlimen akan berjalan selama beberapa minggu.
"Dalam hal ini, perkara yang menjadi isu bukanlah mahkamah menghalang tertuduh daripada menghadiri Parlimen namun perkara utama adalah walaupun tertuduh adalah Ahli Parlimen, beliau juga berdepan tujuh tuduhan di mahkamah ini,” katanya.
Perbicaraan diteruskan dengan bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin yang juga saksi ke-42 tampil menyambung keterangannya.