KUANTAN - Rokok seludup bernilai RM300,000 berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang di perairan Kuala Rompin, Jumaat lalu.
Timbalan Pengarah Maritim Negeri (Operasi), V Pannir Selvan berkata, cubaan seludup tersebut berjaya digagalkan hasil maklumat dan risikan anggotanya.
Menurutnya, kesemua suspek terlibat bagaimanapun sempat meloloskan diri.
"Sebaik mendapat maklumat, anggota telah ke lokasi menggunakan bot. Hasil tinjauan terdapat sebuah bot serta lori mencurigakan dalam gelap di tepi Pantai Batu 7.
"Anggota memperkenalkan diri namun bot fiber berkenaan terus memecut laju ke arah laut. Cubaan memintas gagal kerana laut bergelora dan cuaca gelap," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Pahang, hari ini.
Beliau berkata, anggotanya berpatah semula ke lokasi pemunggahan dan mendapati lori yang digunakan oleh penyeludup turut lesap.
"Pemeriksaan kemudian menemui 2,000 karton rokok yang ditinggalkan dipercayai tidak bercukai.
"Kesemua rokok dari Kemboja itu bakal dipasarkan ke negeri pantai timur dan selatan," katanya.