Tiada keperluan pembangkang isytihar harta, kata Tuan Ibrahim

Iklan
Tuan Ibrahim ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR – Pas tidak menyokong usul isytihar harta terutamanya melibatkan Ahli Parlimen, memandangkan mereka tiada akses kepada projek-projek kerajaan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun pemimpin kerajaan harus mengisytiharkan harta kerana memiliki akses untuk dapat projek.

Iklan
Iklan

"Saya fikir tak ada keperluan untuk ada akta tersebut (isytihar harta) dan kalau pembangkang tak ada akses untuk dapat projek-projek kerajaan, dan apa keperluan untuk isytihar (harta).

ARTIKEL BERKAITAN: Usul wajibkan MMP isytihar harta dibentang di Parlimen

Iklan

"Kalau daripada pihak kerajaan saya fikir patut (isytihar) sebab mereka ada akses untuk dapat projek,” katanya ketika media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menganggap usul isytihar harta sebagai tiada asas undang-undang dan melibatkan isteri dan anak-anak.

Iklan

"Kalau kita lihat dalam Islam ada satu hadis Nabi sebut kalau Tuhan bagi kepada kamu harta jangan kamu hebohkan kepada orang ramai kerana penilitinya ramai.Soal keselamatan perlu diambil kira, kerana apabila kita isytihar harta ia turut melibatkan keluarganya.

"Keduanya atas asas negara kita dah ada undang-undang, dah ada akta yang cukup untuk mengawal dan semua hasil yang masuk mesti dilaporkan dalam kita pejabat hasil negara setiap tahun, sebab itu saya fikir tak ada keperluan untuk akta tersebut (isytihar harta),” jelasnya.

Tuan Ibrahim menyatakan, Pas tidak menyokong usul isytihar harta melainkan ia dipinda merujuk kepada undang-undang.

"Kita (Pas) tidak sokong, melainkan dipinda dulu satu landasan kepada undang-undang yang merujuk kepada akta. Kalau sekadar usul saja, ‘no point’.

"Kita kena cermat bila kemukakan sesuatu (usul) di Parlimen, jangan gopoh. Kita teliti, kaji implikasi, jangan kita terdesak. Hari ini kita buat dan kemudian esok kita tarik balik ia menggambarkan kita tidak mempunyai satu penelitian kepada satu isu dan bagi saya, kita kena teliti cermat hati-hati sebelum kita bentang di Parlimen,” katanya.

Ketika ini sedang berlangsung pembentangan usul untuk mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang dan keluarga mereka mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).