SHAH ALAM - Kerajaan negeri akan meletakkan klausa larangan straw plastik dalam syarat permohonan lesen perniagaan premis makanan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, tiada penguatkuasaan Kempen Bebas Straw Plastik dalam masa terdekat namun menyasarkan kaedah itu akan diguna pakai pada 2025.
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan mendidik dan meningkatkan kesedaraan pengurangan penggunaan straw plastik.
"Kerajaan negeri beri masa yang cukup kepada pengusaha dan orang awam untuk membiasakan diri. Tidak ada penguatkuasaan atau denda untuk masa terdekat sebaliknya mendidik mereka tidak lagi menggunakan bahan berunsur plastik.
"Jika sepuluh peratus daripada 3. 2 juta rakyat Malaysia menggunakan straw plastik setiap hari, berapa jumlah sampah plastik yang akan terkumpul? Perkara itu yang cuba kerajaan negeri sampaikan, bukan berniat menyusahkan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada pada program edaran notis pemberitahuan Bebas Straw Plastik dan tinjauan hari pertama pelaksanaan kempen itu di Plaza Shah Alam hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Datuk Haris Kasim.
Katanya, beliau mendapati masih ramai tidak mengetahui berkenaan kempen larangan straw plastik tersebut yang bermula hari ini.
"Premis dilarang memberikan straw plastik secara automatik bagi setiap pesanan, tidak mempamerkan atau meletakkan straw di kawasan terbuka (kaunter) dan pemberian straw diberikan secara percuma hanya apabila diminta oleh pelanggan.
"Kerajaan negeri menggalakkan pengusaha mengambil inisiatif menggantikan straw plastik kepada straw kertas. Sementara pelanggan boleh membawa sendiri straw guna semula (reusable)," katanya.
Katanya, ia membantu mengurangkan pencemaran dan bersama-sama menjaga alam sekitar.
"Kempen tersebut terlebih dahulu telah dilaksanakan di peringkat agensi dan jabatan negeri sebelum diperluaskan kepada orang awam," katanya.