[DIKEMASKINI] PELAKON Amar Baharin berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata kedua apabila isterinya, Amyra Rosli kini sedang hamil tiga minggu.
Menerusi perkongsian rakaman video bersempena sambutan hari ulang tahunnya yang ke-34 yang dilakukan saluran YouTube miliknya hari ini, Amar menyifatkan berita tersebut sebagai hadiah hari lahir yang cukup bermakna buat dirinya.
"Hari ini 1 Julai 2019 adalah hari yang penuh bermakna untuk saya sebab selain ulang tahun kelahiran saya yang ke-34, isteri saya #AmyraRosli bagi hadiah pregnancy test.
"Alhamdulillah syukur. Semoga semua dapat mendoakan agar Amyra dan baby dalam kandungan,” tulis Amar.
Berita itu juga turut dikongsi Amar di Instagram miliknya pada masa yang sama.
"Syukur alhamdulillah. Terima kasih Ya ALLAH atas rezeki ini,” luahnya.
Rata-rata peminat dan pengikut Amar tidak mahu ketinggalan mengucapkan tahniah kepada pasangan ini, selain doa buat bayi mereka yang bakal lahir nanti.
Amar dan Amyra mendirikan rumah tangga pada November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Aqeef Anaqi, 2.