Hospital Segamat sebagai 'hospital maut' bayi tidak tepat

Iklan

JOHOR BAHRU - Dakwaan Hospital Segamat sebagai 'hospital maut' kepada bayi yang baru dilahirkan adalah tidak tepat dan bersifat umum.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, berdasarkan data statistik Hospital Segamat, kadar kematian bayi yang baru dilahirkan di hospital itu adalah lima bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kadar itu masih dalam lingkungan piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu 5.5 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

"Sebagai makluman, semua kes yang melibatkan kematian bayi akan disiasat untuk mengenal pasti penyebab antaranya kecacatan kongenital, jangkitan kuman, pendarahan dalam otak, kernicterus (sakit kuning yang teruk melibatkan bahagian otak) dan inborn error of metabolisme (penyakit metabolisme semulajadi).

Iklan

"Sekiranya siasatan mendapati terdapat kecuaian semasa pengendalian rawatan, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, orang awam dinasihatkan supaya mendapatkan kesahihan maklumat terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan dalam media sosial yang boleh memberi gambaran buruk terhadap perkhidmatan kesihatan.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan seorang pengguna Facebook yang tular pada 28 Jun lalu yang mendakwa masih terdapat kematian bayi yang baru dilahirkan disebabkan kecuaian pegawai perubatan walaupun Malaysia sudah 60 tahun merdeka.

Pengguna facebook itu turut mendakwa pegawai perubatan itu tidak mempunyai kepakaran dalam menangani kes ibu mengandung. - Bernama