MACHANG - Golongan muda harus diberi pendedahan mengenai situasi politik semasa sejak awal iaitu di bangku persekolahan dan ia selaras dengan menurunkan umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Muda Negeri Kelantan, Muhammad Afiqq Noh berkata, sudah tiba masanya anak muda diberi pendedahan dan peluang terlibat politik lebih awal.
Katanya, dengan perubahan umur seperti yang diamalkan selama ini, ia sekali gus akan dapat meningkatkan penglibatan golongan itu dalam politik.
Muhammad Afiqq berkata, selepas lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan dan 14 kali pilihan raya umum, sudah tiba masanya dasar had kelayakan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, ia akan mengubah landskap politik negara dengan lebih segar.
"Penglibatan lebih ramai masyarakat dalam dunia politik termasuk golongan muda mampu melahirkan idea-idea segar yang bersesuaian dan bertepatan dengan keperluan semasa rakyat.
Tambahnya, pihaknya menyambut baik dan memberi sokongan penuh kepada Menteri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam membawa usul tersebut yang mana golongan remaja akan diberi satu kepercayaan dan tanggungjawab besar dalam menentukan hala tuju dan corak pemerintahan negara pada pilihan raya yang akan datang.
"Tanggapan golongan muda berumur 18 tahun tidak mampu membuat keputusan yang bijaksana tidak boleh diterima sama sekali. Jika dilihat kembali, golongan muda pada masa kini rata-ratanya sudah matang dan adakalanya lebih matang berbanding orang lama.
"Mereka sememangnya pintar dengan penggunaan teknologi semasa dan pastinya mampu berfikir dengan matang dalam membuat sesuatu keputusan tetapi dalam masa sama," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kabinet telah bersetuju untuk membentangkan usul untuk meminda had umur layak mengundi pada 4 Julai ini di Dewan Rakyat dan pengumuman tersebut disambut dengan pelbagai reaksi terutamanya di kalangan parti politik dan golongan muda.
Usul menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun tersebut akan dibentangkan oleh Syed Saddiq dan mesyuarat jemaah menteri pada September lepas turut bersetuju dengan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu.