PASIR PUTEH - Sebanyak sembilan bot nelayan asing Vietnam yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dari Januari hingga Jun tahun ini dilucut hak oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, empat daripada sembilan bot yang dilucut hak didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.
Menurutnya, bot-bot terbabit didapati melakukan kesalahan menangkap ikan di perairan Malaysia dan setiap tekong didenda RM90,000 atau lapan bulan penjara.
"Awak-awak pula didenda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.
"Pertuduhan ini membabitkan 36 nelayan asing," katanya.
Pada masa sama, lima lagi bot didakwa di bawah Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pihak berkuasa Malaysia semasa melalui perairan negara.
Katanya, lima tekong masing-masing didenda RM150,000 atau lapan bulan penjara.
"Kejayaan dalam pertuduhan ini menunjukkan Maritim sentiasa serius dalam menangani masalah pencerobohan nelayan asing.
Hakim Ahmad Bazli Baharuddin membuat keputusan tersebut.
Maritim diwakili Timbalan Pendakwaraya Siti Hajar Mustaffa dan semua tertuduh tidak diwakili peguam.